Monday 21 November 2011

Pencemaran alam.


KERTAS KERJA SEMINAR PEMBANGUNAN & ISU-ISU GLOBAL (MTP 3012)

ISU PENCEMARAN ALAM SEKITAR MERUPAKAN SATU ISU GLOBAL YANG MEMERLUKAN PENELITIAN BERSAMA DI PERINGKAT ANTARABANGSA . BINCANGKAN .

PENGENALAN
Jika kita lihat tajuk perbincangan ini, ianya merupakan satu tajuk yang meluas dan banyak aspek boleh dibincangkan . Tetapi jika kita renung dan teliti dengan sedalam-dalamnya maka kita dapati satu perkara yang perlu diambil kira adalah pada perkataan 'memerlukan penelitian bersama' .
Berdasarkan kepada isu yang hendak dibincangkan 'memerlukan penelitian bersama' membawa maksud bahawa , isu pencemaran yang merupakan isu global ini perlu dibincangkan, difikirkan dan ditangani bersama-sama di peringkat antarabangsa . Ini adalah kerana masalah pencemaran yang berlaku di seluruh dunia ini pernah, sedang dan akan dialami oleh semua negara . Jadi langkah-langkah bijak perlu dirancangkan bagi mengatasi masalah ini .
Bagaimanakah cara kita hendak menyelesaikan masalah di atas ? Cara kita menjawab atau menyelesaikannya adalah bergantung kepada persepsi kita sendiri terhadap alam sekitar . Ia juga mendedahkan cara hidup kita; adakah cara hidup kita dapat membantu memulihara alam sekitar atau sebaliknya ?
Unit Pendidikan Persatuan Pencinta Alam atau Malaysia Nature Society (MNS) sering menerima pertanyaan tentang apakah cara-cara memulihara alam sekitar yang sepatutnya dilakukan oleh semua pihak . Tidak kurang juga yang menanyakan adakah usaha seorang individu dapat memulihara alam sedangkan masalah-masalah itu telah menjadi semakin rumit .
Jika kita meniliti punca-punca masalah alam sekitar, kita mendapati bahawa kebanyakannya disebabkan oleh permintaan manusia terhadap hasil keluaran industri . Ini membawa kepada masalah tekanan terhadap keupayaan bumi membekalkan ruang dan sumber untuk permintaan ini .
Tekanan terhadap alam sekitar terdiri daripada dua bentuk .
  • Pertamanya tekanan daripada permintaan terhadap sumber asli seperti bahan api, air dan juga tanah .
  • Keduanya, ialah sisa industri yang mencemarkan udara dan persekitaran .
Ini menyebabkan berlakunya pencemaran serius secara global seperti kesan rumah hijau, permusnahan ozon dan hujan asid .
Bila kita fikirkan mengenai pencemaran secara global ini, rasanya terlalu sukar untuk seseorang individu itu memperbaiki keadaan . Kita mungkin tertanya-tanya, apakah tindakan seorang individu itu berupaya untuk memberikan apa-apa kesan ? Namun begitu, kita harus sedar bahawa pencemaran yang serius beginilah sebenarnya berpunca daripada tindakan individu juga . Oleh yang demikian, tindakan individu jugalah yang dapat membantu menyelamatkan bumi kita ini .

No comments:

Post a Comment